Thursday, February 27, 2014

Nota pendek : Darah yang percuma

Bismillahirrahmanirrahim.Alhamdulillah, Allahumma solli ala Muhammad, alihi wa sohbihi wassalim.


Apa khabar semua? Moga sentiasa dalam keadaan iman dan amal yang meningkat. Kerana tanpa iman dan amal, manusia yang hidup umpama haiwan. Tanpa tujuan, tanpa panduan. 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-Hujurat:10)

Semakin hari semakin banyak berita dan informasi yang memaparkan tentang kezaliman yang berlaku kepada saudara Muslim di negara luar. Kisah Palestin umpama di bawa angin apabila manusia seperti sudah lali mendengar saudara Muslim di sana ditembak, dipukul dan dipenjara. Allahu robbi. Dan kisah kezaliman kepada saudara Muslim di Syria,Mesir, dan Rohingya tidak mampu memberi satu tindakan yang cepat dan penting buat penguasa negara yang beragama Islam untuk tampil membela saudara Muslim yang dizalimi.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda; 

مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ المُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنهُمْ
“Sesiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin, maka dia bukan sebahagian daripada mereka”. (HR al-Tabrani, Ibn Hibban)

Dan kini, saudara di Afrika tengah dicabuli hak kebebasan dan kemerdekaan mereka. Apabila mereka sebagai penganut agama minoriti di Afrika Tengah telah diseksa dan ditindas tanpa mendapat sebarang pembelaan daripada pihak berkuasa seperti Pertubuhan Negara-Negara Islam  (OIC). Malah kerajaan yang memiliki majoriti rakyat beragama Islam juga tidak mampu bersuara untuk mempertahankan kehormatan dan harga diri saudara Muslim kita di Afrika Tengah. OIC dan Persatuan-Persatuan Islam perlu bersatu dan  mengambil tindakan pantas bagi menyuarakan isu ini ke mata dunia khususnya PBB. Sebarang kezaliman kepada rakyat yang beragama Islam perlu dihentikan segera. Tindakan tegas perlu dilakukan agar Islam kembali menjadi agama yang rahmat kepada sekalian alam. Sebagaimana Islam tidak pernah menghalalkan sebarang kezaliman dan penindasan berlaku kepada sesiapapun tanpa mengira agama dan bangsa.


من نفَّس عن مؤمنٍ كربةً من كُرَبِ الدنيا نفَّس اللهُ عنه كُربةً من كُرَبِ يومِ القيامةِ ، ومن يسَّر على مُعسِرٍ ، يسَّر اللهُ عليه في الدنيا والآخرةِ ، ومن ستر مسلمًا ، ستره اللهُ في الدنيا والآخرةِ ، واللهُ في عَونِ العبدِ ، ما كان العبدُ في عَوْنِ أخيه ، ومن سلك طريقًا يلتمسُ فيه علمًا ، سهَّل اللهُ له طريقًا إلى الجنَّةِ ، وما اجتمع قومٌ في بيتٍ من بيوتِ اللهِ ، يتلون كتابَ اللهِ ، ويتدارَسونه بينهم ، إلا نزلت عليهم السَّكينةُ ، وغشِيتهمُ الرحمةُ ، وحفَّتهمُ الملائكةُ ، وذكَرهم اللهُ فيمن عندَه ، ومن أبطأ به عملُه لم يُسرِعْ به نسَبُه

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya”.
(HR Muslim)

Cukuplah hadis ini buat kita semua memahami bahawa, Islam merupakan agama universal yang tidak mengira bangsa dan kaum. Maka sewajibnya bagi kita khususnya pemerintah yang beragama Islam untuk membantu saudara Muslim di luar negara yang semakin hari darah mereka percuma untuk diberikan kepada si penzalim. Dan moga-moga Allah tidak menyoal kita di akhirat sana kerana tidak cakna kepada saudara muslim yang lain. Wallahu'alam.




gambar kredit kepada Ma'ruf Club UIAM

[ http://saiyidsufi.blogspot.com/2014/02/nota-pendek-darah-yang-percuma.html ]


Friday, January 10, 2014

Hina seketul tanah

Lama dahi ku bersujud,
Mengenangkan tempat kembalinya aku satu hari nanti,
Tanah yang sunyi tanpa teman,
Tanah yang bakal didatangi malaikat,
Berhadapan dengan ku mengikut kitab amalan..

Takut aku memikirkan,
Hina aku hanya seketul tanah,
Namun iman ku dirobek bisikan nafsu,
Yang membawa ku ke dalam busuk dunia,
Yang melenakan ku akan kehidupan sebenar,
Dunia Abadi, Negeri Akhirat..

Takut aku Tuhan!
Aku merasa pahlawan dunia!
Takut aku Tuhan!
Pabila aku mula mendabik dada!
Sedangkan KAU terus memerhati ku,
Akan kebodohan ku melayan nafsu durjana..

Takut aku Tuhan!
Pabila Hidayah Mu tiada,
Beransur meninggalkan ku sendiri,
Mencatur bumi, dengan minda sendiri..

Takut aku Tuhan!
Pabila air mata ini enggan keluar,
Kerana dosa yang menghalang,
Dari membasuh taubat kepada Mu..

Jangan tinggalkan aku Tuhan,
Sungguh aku lemah,
Meskipun kadangkala aku tidak menyedari,
Kerana nafsu ku menguasai diri,
Lupa akan pimpinan Mu Rabbi..

Jaga aku Tuhan!
Jaga aku dari keluar menjadi hamba pilihanMu,
Jaga aku dari menjadi khalifah yang buta hati,
Jaga aku dari menjadi abid yang syirik,
Bersarang penyakit hati..

Jaga aku Tuhan,
Kerana Kau Pencipta ku,
Kerana Kau Penjaga ku,
Kerana Kau Pemilik hati ku..





Sunday, December 29, 2013

Catatan 31 Disember buat ibu dan ayah..




Duhai ibuku,
Duhai ayahku,
Dengarlah ini rintihan anakmu,
Bukan niatku mengecewakanmu, 
Bukan hajatku memalukanmu..

Duhai ibuku, 
Duhai ayahku, 
Berdirinya aku di dataran merdeka ini,
Berlegarnya aku pada 31 disember ini,
Demi mengajar mereka yang sedang berkuasa, 
Bahawa kita bukan senang diperdaya, 
Oleh kata kata mereka yang nista belaka..

Duhai ibuku, 
Duhai ayahku, 
Akan aku beritahu mereka semua,
Bahawa kita bukan kaya seperti mereka, 
Bermewah2 berbelanja,
Membaling duit di sini sana, 
sedangkan kita terpaksa menderita,
Menjalani hidup yang tidak tahu sampai bila.. 

Duhai ibuku, 
Duhai ayahku, 
Restuilah aku, 
Restuilah anakmu, 
Bukan aku melakukan jenayah,
Bukan aku melakukan yang hina,
Tapi aku ingin bersuara,
Supaya mereka tidak bermaharajalela.. 

Mungkin dikau tidak faham sekarang, 
Mungkin dikau tidak bersamaku sekarang, 
Tetapi percayalah ibuku,
Percayalah ayahku,
Akan dikau bangga melihatku suatu hari, 
Pabila kita berjumpa di 'sana' nanti..

-Nurfaezza Mohamad-

Hapuskan Qarun dan hidupkan Ulul Albab

Islam bersifat progresif dan dinamik yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pelengkap indahnya suatu kehidupan. Pelbagai kisah yang disebutkan dalam Al-Quran sangat relevan dijadikan sandaran untuk diteliti dan difahami oleh setiap manusia bagi menghadapi dunia global akhir zaman.

“ Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). “ ( Al-Qasas : 76 )

Allah SWT telah menyebut perihal Qarun di dalam Kitab-Nya untuk menjadi cerminiktibar buat penguasa yang memegang tampuk kerajaan. Qarun merupakan umat di zaman Musa Alaihissalam yang telah dianugerahkan Allah oleh ilmu yang banyak dan kekayaan luar biasa. Malang sekali, beliau gagal untuk mengawal nafsu mengumpul harta malah menindas dan memeras kaumnya sendiri sehingga membiarkan mereka hidup melarat. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya sendiri, tetapi sebenarnya ia diperolehi secara zalim dengan memeras dan merampas hak bangsanya sendiri.

Realiti kisah ini sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa wujudnya kelahiran Qarun di negara kita, yakni Malaysia. Pemimpin yang dianugerahi pelbagai kuasa dan harta namun bersikap sombong terhadap nikmat yang diberi. Hidup rakyat marhaen pula semakin ditindas berikutan kenaikan harga yang melampau oleh pihak kerajaan. Malah, lebih mengecewakan tatkala rakyat hanya diminta untuk terus redha dan bersabar atas apa yang terjadi.

Para menteri kabinet beranggapan bahawa kenaikan harga merupakan satu usaha untuk mengimbangi masalah ekonomi dan deficit yang melanda. Namun mereka harus sedar bahawa masalah yang terjadi adalah hasil daripada sikap tidak cermat pihak kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan negara lantas menyebabkan pembaziran yang tidak munasabah. Laporan audit yang dilaporkan sepanjang pemerintahan kerajaan BN jelas membuktikan bahawa masalah yang timbul adalah berakar dari kecuaian pengurusan kerajaan itu sendiri. Kesannya, kelemahan pihak kerajaan ini telah mengheret rakyat dengan bebanan kenaikan harga dan cukai yang bakal dijalankan tahun depan.

Kos hidup yang semakin tinggi terutama di kawasan Bandar menyebabkan rakyat sudah tidak mampu untuk bertahan malah dilihat seiring dengan meningkatnya kes jenayah. Kes curi,rompak dan bunuh yang berlaku tidak boleh dipandang enteng oleh pihak kerajaan. Boleh jadi, hal ini bersangkut paut akan rakyat yang tidak mampu untuk membeli barang keperluan asas lantas menyebabkan mereka bertindak sedemikian sebagai jalan pintas untuk mengatasi desakan hidup.

Maka, kerajaan sama sekali tidak boleh menyalahkan serta menuding jari kepada jenayah yang sedang berleluasa kerana ia adalah hasil kelemahan kerajaan memberikan cara hidup yang terbaik kepada rakyat. Subsidi dan pemberian BRIM bukanlah satu solusi bijak bagi jangka masa panjang. Kemelut ekonomi dan kenaikan harga ini tetap akan berterusan jika pihak kerajaan sendiri tidak mula membanteras pembaziran dan salah guna wang yang berlaku dalam Kementerian Kabinet serta Badan-badan kerajaan.

5 tuntutan syariat Islam

Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah adalah jalan keluar terbaik untuk mengatasi segala masalah yang akan terus memberi petunjuk kepada umat manusia untuk mengecapi keadilan yang mutlak. Kepentingan Syariat Islam yang memelihara lima asas hidup iaitu, agama, akal, nyawa, harta dan keturunan adalah solusi percuma yang diberi Allah bagi setiap manusia untuk dihayati serta diaplikasi dari segenap lapisan masyarakat dan bangsa.

“ Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). “ (Al-Maidah : 48 )

Keberkesanan aplikasi syariat Islam jelas terpampang di depan mata apabila negara jiran, Brunei sudah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah berikutan pengumuman bahawa hukuman hudud akan dijalankan, Walhal ketika itu, hukuman hudud belum dikuatkuasakan lagi. Malah, Allah mencampakkan rezekiNya yang tidak terduga dengan penemuan enam lombong minyak di sana. Hal ini jelas ingin memberi klu kepada pihak kerajaan agar tidak berfikir lama untuk mengambil solusi yang jelas tersedia dalam melahirkan Malaysia kea rah yang lebih baik serta sentiasa mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu Wa Taala.


Ulul Albab pembunuh Taghut

“ Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. “ ( Al-Baqarah : 269 )

Ulul Albab merupakan golongan manusia yang telah dipilih Allah dan diberi Ilmu yang selayaknya untuk memakmurkan bumi. Golongan Ulama, akademik, mahasiswa seharusnya menyedari bahawa mereka berperanan menjadi neraca penimbang bagi pemerintah. Ulul Albab perlu menjadi rakyat seperti dalam kisah Qarun yang menegur kesombongan Qarun dalam menguruskan harta.

Isu kenaikan harga serta kesusahan rakyat marhaen yang melanda ini harus menjadi fokus utama para ulul albab. Mereka seharusnya lantang menegur dan memberi solusi kepada para pemerintah supaya tangkas dalam mengatasi masalah rakyat. Para Ulul Albab tidak boleh bersikap membodek atau menjaga periuk nasi andai melihat kekurangan pemerintah yang terang-terangan menindas nasib rakyatnya sendiri. Sikap berdiam diri  ini bisa membuatkan rakyat marhaen bertindak melakukan kerosakan kerana tidak dipandu oleh mereka yang mursyid dalam mengatur kehidupan.

Justeru itu, saya menyeru kepada para Ulul Albab untuk menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berlaku dengan menggunakan jalur akademik masing-masing dan bersama-sama merasai kesusahan rakyat marhaen. Kerana ulul albab juga seorang rakyat. Keluarlah dari kelambu kesenangan dan lontarkan segala kebijaksaan untuk menyelesaikan masalah rakyat

Dan saya sebagai mahasiswa melihat Gerakan Turun Kos Sara Hidup – TURUN adalah satu platform yang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku.
Tiada apa yang perlu ditakutkan kerana kita bersama rakyat untuk kemaslahatan bersama. Moga usaha ini menunjukkan para ulul albab mendekati dan memahami masyarakat dalam mengatasi masalah yang dihadapi.

Selamat tahun baru 2014, jumpa di Dataran   Merdeka.





Saturday, December 21, 2013

Tarbiyah itu Nadi

Bismillah..

Tarbiyah itu nadi.

Semakin jauh kita dengannya.
Semakin gelisah dan tidak tenang hati kita.

Tarbiyah itu segala-galanya.
Sukakan perkara baik itulah dia.
Bencikan perkara maksiat itulah dia.

Ringkasnya,
Tarbiyah itu harus dicari dan dikejar.
Bukan hanya menunggu dan melihat sahaja.
Moga Allah bukakan mata, hati dan minda kita untuk menyambut Tarbiyah-Nya.

Sunday, November 24, 2013

Permulaan!

Assalamualaikum buat para pengunjung blog ini.
Insyaallah blog ini akan beroperasi sebagai salah satu medium yang boleh diambil manfaaat bersama.

Nantikan artikel-artikel dari penulis-penulis hebat insyaallah!
Kami turut memerlukan komentar dari anda.

Sekian, Ilal liqo! =)
-admin Z-